فَبِأَيِّ آلَاء رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ" : Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?" (QS. Ar-Rahman [55] )

Pusat Ternakan : Lot 389, Dusun Durian, Kampung Belau Merbok, 08400 Merbok, Kedah.




Wednesday 29 July 2015

CARA PEMELIHARAAN


 
 
Pemilihan Kawasan
Pemilihan kawasan untuk menjalankan pemeliharaan adalah penting. Kawasan-kawasan yang dipilih sepatutnya:-
·         Mempunyai tempat teduh dan redup seperti pokok-pokok besar dan juga pokok yang boleh dijadikan pemecah angin.
·         Kawasan tanah yang tinggi dan dataran serta mempunyai sistem pengaliran air dan udara yang baik.
·         Jauh dari jalan raya yang sibuk.
 
 
Sistem Pengurusan
Di antara sistem pengurusan pemeliharaan kambing adalah:
Sistem Berkurung (intensif)
Sistem ini memerlukan perumahan yang sempurna, kerana kambing tidak dilepaskan meragut. Makanan dan minuman terpaksalah dibawa kepada mereka setiap hari iaitu konsentrat, rumput dan garam jilat. Kebiasaannya, sistem pemeliharaan begini diamalkan oleh penternak-penternak yang tidak mempunyai kawasan ragut atau untuk ibu-ibu kambing yang akan beranak dan selepas beranak dan juga bagi kambing jantan baka. Oleh kerana kambing tidak dilepas langsung, kemungkinan jangkitan penyakit adalah tinggi. Oleh itu, kandang hendaklah sentiasa bersih dan kering. Selain daripada itu, kambing senang diawasi untuk tujuan rawatan dan pengesanan penyakit.
Sistem Separuh Berkurung (Semi-intensif)
Pemeliharaan kambing secara sistem ini dilakukan dengan melepaskan kambing pada siang hari dan dikurung di dalam kandang pada waktu malam. Sistem ini mempunyai faedah di mana selain daripada perlindungan pada malam hari dan dari cuaca yang buruk, ianya juga memberi kebebasan untuk meragut rumput dan herba-herba yang lebih baik. Cara ini juga memberi kesempatan kepada anak kambing untuk bersenam dan mendapatkan cahaya matahari yang secukupnya. Pemeriksaan terhadap penyakit boleh dijalankan apabila kambing-kambing ini masuk ke kandang pada petang hari.
 
Sistem Ragut Lepas
Sistem ragut lepas ini boleh dijalankan jika terdapat kawasan ragutan yang luas. Kambing-kambing ini tidak disimpan di dalam kandang tetapi dibiarkan meragut sepanjang masa. Walaupun menternak cara begini tidak memakan belanja yang banyak untuk membuat kandang dan sebagainya, ianya tidak digalakkan. Ini adalah kerana kambing ini boleh merayau dan merosakkan tanaman jiran. Di samping itu juga, pengawasan terhadap ternakan juga adalah rumit kerana tuan empunya tidak dapat melihat ternakannya setiap masa.
RINGKASAN
Kawasan yang dipilih untuk pemeliharaan kambing mestilah strategik iaitu redup (banyak pokok-pokok besar), di kawasan yang tinggi, jauh dari jalanraya yang sibuk dan sebagainya. Terdapat 3 cara pengurusan dalam pemeliharaan kambing iaitu sistem berkurung, separuh berkurung dan ragut lepas.

No comments:

Post a Comment